Sunday, June 5, 2011

artikel wajib baca..



SIAPAKAH YANG MENYAHUT RINTIHAN DERITA INSAN?
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com)

Insan itu insan. Terdedah kepada kesusahan dan kesakitan. Terdedah kepada dukacita dan sengsara. Sehebat mana pun dia. Sebesar mana pun pangkatnya. Insan bukan tuhan untuk kebal dari panahan sengsara dan duka. Jika tidak menimpa pada hartanya, menimpa pada tubuhnya. Jika tidak pada tubuhnya, menimpa pada maruahnya. Jika tidak pada maruahnya, pada perasaannya yang derita disebabkan pelbagai punca. Mungkin kehilangan orang yang dicinta, atau dikhianati oleh orang disayangi. Segala mungkin. Itulah hakikat kehidupan insan dan itulah hakikat kehidupan setiap makhluk.

Apabila insan ditimpa derita, dikepung oleh sengsara, dihambat oleh duka, dia akan berusaha mencari tempat bergantung. Mencari dahan berpaut. Mencari teduhan untuk berlindung. Jiwa dan fikirannya melayang dan meraba; kepada siapakah hendak aku mengadu? Siapakah yang boleh menolong daku? Siapakah yang mampu untuk mengeluarkan aku dari kemudaratan ini?


- Gambar Hiasan

Jiwa Hambar

Bagi jiwa insani yang renggang dari Tuhan, jiwa insan yang hambar dari kemanisan iman dan hubungan ruhi dengan ilahi, dia akan terus terbayang penolong itu temannya atau orang besar, atau orang berharta, atau orang berkebolehan yang dirasa dapat membantunya. Jika dia sakit, pertama yang terbayang dalam fikirannya wajah para pengubatnya. Jika dia kesesakan harta, dia terbayang sumber-sumber yang boleh dia dapatkan wang. Jika ditindas, dia terbayang wajah mereka yang berkuasa yang dia rasa dapat membantunya. Demikian seterusnya.

Jiwa, jantung hatinya sentiasa tersangkut dalam alam makhluk. Tergantung dengan yang lemah sepertinya. Berpaut pada yang rapuh kerana disangkakan kukuh. Lalu Allah pun membiarkannya bersama dunianya yang goyah dan harapan sentiasa terdedah kepada kehancuran. Dia terlupa bahawa betapa ramai pesakit yang gagal diubati. Dia terlupa bahawa betapa ramai yang dikhianati oleh orang yang dipercayai. Dia alpa bahawa betapa ramai yang berkuasa gagal menyelamatkan diri sendiri. Bahkan dia lupa betapa ramai yang berharta, berkuasa dan ternama, Allah kepung hidup mereka dengan pelbagai sengsara. Pergantungan yang sangat lemah. Allah mengingatkan manusia tentang hal ini dengan firmanNya: (maksudnya)

“Wahai manusia, diberikan untuk kamu satu perumpamaan, maka dengarlah mengenainya; sesungguhnya mereka yang kamu seru selain dari Allah itu, tidak sama sekali dapat menciptakan seekor lalat pun walaupun mereka berpakat untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat menyelamatkan kembali. (maka) lemahlah yang meminta (untuk ditunai hajatnya), dan lemahlah yang diminta (untuk menunaikan hajat)”. (Surah al-Hajj: ayat 73).

Demikian perumpamaan yang Allah berikan, gambaran kepada mereka yang bergantung dan menyeru selain Allah dalam mengharapkan pertolongan.

Jiwa Mukmin

Adapun jiwa yang bergantung dengan Allah, setiap kali dia ditimpa kesusahan perkara yang pertama dan pantas menerpa ke jantung sanubarinya ialah pertolongan Allah; harapan dan pergantungan kepada Allah, doa, sujud, solat, rintihan di kesunyian malam, istighfar dan seumpamanya yang membolehkan Allah mendengar rintihannya. Teringatlah dia akan firman Allah yang menggambarkan keagungan kekuasaanNya: (maksudnya)

“Siapakah yang dapat menyahut orang yang dalam kemudaratan, tatkala dia berdoa kepadaNya, serta Dia menghilang keburukan?!”. (Surah al-Naml: ayat 62).

Demi sesungguhnya, tiada siapa yang dapat menyahutnya melainkan Allah S.W.T. Keyakinan dan keimanan yang mendalam inilah yang menjadikan doa insan yang bergantung dengan Allah itu pantas diterima. Allah mengeluarkan insan dari kesusahan dengan pelbagai cara dan rupa yang dikehendakiNya. Jarak antara bumi dan langit amat jauh. Masih tidak dapat dihitung oleh manusia. Namun, jaraknya menjadi begitu dekat disebabkan doa yang mustajab dari hamba yang kesusahan. Dengan seruan ‘Ya Allah! Tolonglah daku!’ maka pantas ia sampai ke langit dan pertolongan Allah pun datang dengan cara dan kehendakNya.

Tidak Menolak Ikhtiar

Bukanlah bererti insan yang bergantung kepada Allah itu menolak pertolongan makhluk dan tidak berikhtiar dalam menyelesaikan masalah. Namun, segala ikhtiar dan usaha itu dilakukan dalam naungan jiwa dan ruh yang sentiasa bergantung dan menyeru Allah. Pertolongan makhluk hanya ‘sebab’ yang berlaku atas kehidupan duniawi, hakikatnya daripada Allah S.W.T. Al-Hafiz Ibnu Kathir (meninggal 774H) dalam tafsirnya, menyebut riwayat dari Wahab bin Munabbih (tabi’i, seorang yahudi yang telah menganut Islam) pernah berkata:

“Aku pernah membaca dalam kitab terdahulu, bahawa Allah berfirman: “Demi kemuliaanKU, seandainya segala langit dan sesiapa yang ada padanya, bumi dan sesiapa yang ada padanya melakukan rencana jahat terhadap orang yang berpegang denganKU, sesungguhnya AKU akan jadikan untuknya di celahan itu jalan keluar. Sesiapa yang tidak berpegang denganKu, maka sesungguhnya AKU boleh tenggelamkannya ke dalam bumi di bawah kedua kakinya, AKU jadikan dia di awangan (tiada pergantungan) dan AKU biarkan dia kepada dirinya”. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/422. Saudi: Dar ‘Alam al-Kutub).

Maksudnya, dalam pelbagai cara Allah boleh menolong hamba yang merintih kepadaNya, dan juga dalam pelbagai cara Allah boleh menjatuhkan hamba yang berpaling dari memanggil kebesaranNya.

Doa Yang Ikhlas

Jiwa yang mengharapkan Allah bukanlah sekadar digambarkan dengan pakaian seseorang, atau gelarannya, atau penampilannya. Sebab itu, jangan tertanya-tanya mengapa Allah membiarkan si fulan sedangkan dia nampak kuat agama? Pertamanya, Allah mungkin menolongnya, sedangkan kita tidak menyedarinya. Atau, mungkin kita tidak tahu apa yang tersimpan dalam dadanya. Allah Yang Maha Mengetahui siapakah dia, jauh atau dekat dia dengan Allah. Betapa ramai yang lidahnya menyebut “Ya Allah, tolonglah daku”, tapi sanubarinya masih terikat dan bergantung kepada makhluk. Bunyi nada suaranya mungkin kedengaran sebak, tetapi tauhid tidak bulat dan penuh ikhlas, maka doanya tidak disahut.

Demikian apabila kita lihat seorang yang mungkin kelihatan ‘biasa’ sahaja, tetapi setiap kali dia menyebut “Ya Allah, tolonglah daku”, pertolongan pantas sampai kepadanya. Ini disebabkan ruhnya yang penuh pergantungan kepada Allah, tanpa sebarang syirik atau harapan kepada selainNya. Ini yang disebut oleh Nabi s.a.w:

“Boleh jadi orang yang kusut masai, berdebu, yang dihalau di pintu (tidak diterima kedatangannya), jika dia bersumpah dengan nama Allah nescaya Allah tunaikan”. (Riwayat Muslim).

Jika insan ikhlas dan membulatkan pergantungan kepada Allah, Allah menerima harapannya, sekalipun dahulunya dia pernah melakukan dosa syirik dan kejahatan pun, Allah tetap akan mendengar rayuan. Dengan syarat dia hendaklah penuh ikhlas kepada Allah ketika doanya. Al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H) dalam tafsir ketika menghuraikan firman Allah tadi: (maksudnya)

“Siapakah yang dapat menyahut orang yang dalam kemudaratan, tatkala dia berdoa kepadaNya, serta Dia menghilang keburukan?!”, dia berkata: “Allah menjamin menyahut orang yang kemudaratan apabila dia berdoa kepadaNya. DIA memberitahu mengenai diriNya. DIA menerima doa orang yang dalam kemudaratan sebabnya keadaan doa ketika dururat (kesusahan yang amat) itu terbit dari keikhlasan, terputus hubungan hati sanubari dengan selain Allah. Bagi keikhlasan itu suatu kedudukan dan jaminan di sisi Allah. Ini boleh ada pada orang mukmin dan kafir, yang taat dan yang jahat.

Persis seperti firman Allah: (maksudnya) “Dialah yang menjalankan kamu di darat dan di laut; sehingga apabila kamu berada dalam dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya, dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bergembira dengannya; tiba-tiba datanglah angin ribut yang kencang, dan datang pula kepada mereka ombak dari segala penjuru, dan mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadanya (sambil merayu dengan berkata): “Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami akan menjadi orang-orang Yang bersyukur” (Surah Yunus, ayat 22).

Firman Allah juga: (maksudnya) “Maka apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan mereka mengikhlaskan kepadaNya agama, kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka melakukan syirik kepadaNya” (Surah al-Ankabut, ayat 65).

(kata al-Qurtubi lagi) “DIA menyahut doa mereka ketika darurat dan berlakunya keikhlasan mereka, sedangkan DIA tahu bahawa mereka akan kembali kepada kesyirikan dan kekufuran mereka” (al-Qurtubi, Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 13/223. Beirut: Dar al-Fikr)

Fitrah insani akan memanggil Allah dengan penuh ikhlas apabila dia dalam kesusahan. Sehingga ada yang pernah kufur dan sesat akan kembali ikhlas memanggil Allah dengan penuh keikhlasan apabila dia terdesak –seperti al-Quran gambarkan di atas-. Bagaimanakah seorang muslim gagal untuk mengikhlaskan jiwa memanggil Allah dengan penuh keikhlasan pabila dia dalam kemudaratan?! Bagaimana mungkin insan mencari ‘kabel’ atau saluran pertolongan, merayu dan merintih, mengharap dan meminta kepada selain Allah apabila dia ditimpa kesusahan? Jika dia menyeru Allah dalam kesusahan, mengapakah pula dia gagal mengikhlaskan tauhid dan pergantungan kepadaNYa? Sedangkan Allah menjamin untuk menerima doa penuh ikhlas tanpa syirik daripada hamba-hambaNya yang dalam kemudaratan. Siapakah lagi yang dapat mendengar rintihan kesusahan ini? hanyalah ALLAH, tiada sekutu bagiNya.

No comments:

Post a Comment