MARK Zuckerberg melakar sejarah apabila mencipta laman sosial facebook yang mendapat sambutan luar biasa dari segi kegunaannya.
Tentu sekali anak muda ini tidak boleh melupakan peristiwa sewaktu berada di alam persekolahan apabila individu terkaya di dunia, Bill Gates menawarkan satu juta dolar kepadanya. Dan orang lain akan mengingati peristiwa itu kerana dia menolaknya.
Namun dengan penciptaan facebook, dalam usia 26 tahun, Zuckerberg muncul sebagai orang ke-35 paling kaya di dunia dengan nilai AS$6.9 bilion (lebih dari RM20 bilion). Inilah yang dikatakan belia yang telah melakar sejarah - meninggalkan kesan yang besar bukan sahaja kepada dirinya sendiri tetapi kepada dunia.
Zuckerberg adalah contoh terbaik individu dalam kategori belia diungkapkan oleh Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda, Datuk Sohaimi Shahadan apabila bercakap tentang topik Himpunan Sejuta Belia yang akan berlangsung di Putrajaya hujung minggu ini.
Sohaimi, 42, menarik perhatian bahawa untuk melakar sejarah, ia mestilah bermula dari alam belia.
"Ia tidak semestinya di alam persekolahan, tetapi langkah mesti dibuat apabila sahaja kita memulakan kehidupan sebagai belia. Ya, definisi belia ialah remaja seawal usia 15 tahun dan paling tua ialah 40 tahun, namun kekuatan mental dan fizikal yang bermula di awal usia 20-an adalah masa yang paling sesuai untuk melakar sejarah kehidupan," kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.
Bagi anak muda dalam lingkungan belia dan remaja, kata Sohaimi, mereka mempunyai tenaga. Mereka mempunyai akal dan fizikal yang mantap bagi mempertahankan idealisme mereka.
"Ini adalah zaman yang paling sesuai untuk melakar sejarah bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang lain.
"Setelah usia meningkat, fizikal akan menjadi semakin lemah, daya berfikir menjadi semakin perlahan dan dalam teori kreativiti manusia, yang tinggal hanya dua peratus. Apakah yang boleh dibuat oleh orang yang melampaui usia belia?" soal Sohaimi.
Bagi Sohaimi, jihad yang paling besar dan berkesan di zaman ini ialah jihad ekonomi. Anak-anak bangsa mesti berjuang untuk memantapkan ekonomi dan diri yang seterusnya akan membantu memantapkan ekonomi bangsa dan negara.
"Siapakah orang yang kita boleh harapkan untuk memperjuangkan agenda bangsa, kalau tidak dari kalangan belia?
Mereka sahaja yang boleh melakar sejarah besar yang sedang kerajaan gerakkan kini sebagai kesinambungan perjuangan pahlawan dahulu," kata beliau.
Sohaimi memberi contoh, selain Zuckerberg, ramai lagi golongan muda belia yang boleh dibanggakan. Tidak terkecuali belia tempatan. Beliau menyorot perkembangan "Restoran Sekinchan Ikan Bakar" yang diterajui seorang anak muda, Datuk Jamal Md. Yunos yang secara kebetulan berada dalam industri makanan dan restoran.
Bermula dengan kegiatan perniagaan menyediakan khemah untuk majlis-majlis keraian, ia bertukar menjadi saudagar ikan bakar. Kalau dikira dari segi membakar dan memasak makanan sebegitu yang dikira tradisional, tentulah orang tua, yang mahir dan pakar, tetapi kenapa anak muda yang menjalankan perniagaan ini?
"Pertamanya untuk menjalankan perniagaan sebegitu memerlukan tenaga, keduanya, yang paling penting ialah memerlukan kreativiti.
"Kedua-duanya ada pada belia, dan kebetulan belia tersebut ialah Datuk Jamal - orang yang telah melakar sejarah. Seorang rakan saya pernah berseloroh, "Sekinchan Ikan Bakar membuka cawangan baru setiap minggu," katanya.
Sekali lagi, beliau menarik perhatian tentang seorang lagi belia contoh iaitu Pengarah Urusan Sani United Sdn. Bhd. (SUSB), Datuk Wan Mohammad Sani Salleh yang membuka syarikat pengangkutan Bas Sani Ekspres. Ceritanya, Wan Mohammad Sani pernah bankrap dan beberapa kali jatuh dalam perniagaan.
"Tetapi usia mudanya ada satu kelebihan. Beliau masih mampu dan bertenaga untuk bangkit kembali dalam melakar sejarah dan saya percaya ini adalah sejarah bangsa.
"Kini syarikat bas Sani Ekspres boleh bergaya dengan pemilikan sebanyak lebih daripada 50 buah bas dua tingkat yang canggih teknologinya dan telah dinobatkan sebagai Tokoh Usahawan Muda oleh dua buah institusi pendidikan, iaitu Universiti Malaya dan Kolej Poly-Tech Mara," kata Sohaimi lagi.
Ramai lagi anak-anak muda kita yang telah melakar sejarah baik di dalam atau di luar negara. Jika pada zaman dahulu mereka muncul sebagai pahlawan perang yang sanggup berjuang hingga ke titisan darah terakhir dalam menegakkan maruah bangsa. Kini, mereka di arena sendiri yang kadang kala pentasnya tidak mereka faham.
Kita melihat sekarang kebanyakan anak muda menjadi begitu taksub dengan gajet komputer, permainan siber dan facebook. Kenapa tidak di dalam berseronok dan bersuka-ria itu, kita tanamkan sedikit wawasan untuk mencipta kewangan.
Bagaimana Irfan Khairi dan Azizi Ali menggunakan kemudahan internet dalam mencipta wang. Ia tentu sekali bermula dengan keseronokan berdepan dengan komputer sehingga mereka berupaya melakar sejarah mencipta wang untuk mereka.
Menurut pakar kanak-kanak, golongan itu memang dilahirkan kreatif. Tetapi apabila mereka tamat pengajian di universiti, kreativiti mereka hanya tinggal 25 peratus. Dan apabila mereka tamat perkhidmatan, kreativiti mereka paling tinggi pun masih ada cuma dua peratus sahaja. Ini bermakna untuk seseorang melakarkan sejarah dalam kehidupan mereka, ia hanya boleh berlaku dalam usia muda.
Pada masa zaman kanak-kanak, walaupun kreativiti seseorang itu tinggi tetapi kemampuan fizikal dan mental terbatas. Mereka tidak mampu menolak sergahan orang yang lebih dewasa daripada mereka. Sebab itu kanak-kanak gagal melakarkan sejarah mereka.
Contoh yang paling tepat ialah peristiwa Hang Nadim dibunuh kerana cuba menunjukkan kebijaksanaannya menggunakan batang pisang bagi menangani masalah serangan ikan todak di pantai Singapura pada zaman dahulu.
Sohaimi sekali lagi menarik perhatian bahawa masa kini adalah era teknologi dan dunia tanpa sempadan.
"Leftenan Muda Adnan Saidi menjadi wira negara dan meninggal dunia dibunuh askar Jepun dalam usia 28 tahun, begitu juga Datuk Sagor Pasir Salak dikatakan mati di tali gantung pada usia yang muda kerana menentang Inggeris.
"Para pejuang yang lahir di zaman era perjuangan bersenjata adalah dari golongan muda dan remaja. Mereka mencipta sejarah yang sukar dinukil dengan kata-kata, tetapi sejarah itu tetap terpahat dalam khazanah bangsa.
"Tidak ada lagi perjuangan bersenjata yang senang untuk dimenangi, semuanya menjadi canggih dan sofistikated, seolah-olah ilmu adalah punca segala kuasa," kata beliau.
Kata Sohaimi: "Masa yang ada amat singkat, usia remaja adalah terbatas dan masa ini sahaja kita mempunyai tenaga dan daya pemikiran yang kreatif untuk melakar sejarah bangsa. Belia tidak sepatutnya menjadi generasi yang berpeleseran tanpa arah dan tujuan.* artikel Utusan Malaysia, 26 Mei 2011 menarik utk kepentingan bersama,,,,, dengan islam kita maju, dengan islam kita bahagia & dengan islam kita berjaya dunia & akhirat.. insyaAllah.. Amin
No comments:
Post a Comment